31 Jul 2012

Panduan Kehamilan Semasa Puasa

Puasa ketika pregy memang mencabarla aku rasa..
Ni 1st time aku kena pregy time puasa..setakat ni aku ada tinggal sehari..tu tak larat sangat..sebab dah masuk angin sume..
So tak nak membahayakan baby ni, aku buka la puasa hari tu..
Lepas tu terus search kat tenet cari panduan pregy time puasa..

Meh aku share sedikit apa yang aku dapat sebagai panduan bersama..


>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Noor Aini Saari berkata:

"Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan fetus/janin sendiri.

Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya," katanya.

Tambah beliau: "Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan. Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat."

Menurutnya, kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fiziologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita.

Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada si ibu mahupun janin dan berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa. Sebaliknya, bagi kehamilan bermasalah sebaiknya tidak berpuasa.

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi gizi/zat makanan janinnya.

Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius di kalangan ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu selain harus memikirkan keperluan dirinya sendiri, juga janin yang sedang dikandungnya.

Apabila diajukan kebimbangan ibu-ibu yang bayi mereka lapar jika terus berpuasa, terutamanya bagi yang melalui pengalaman sulung mengandung, Dr. Noor Aini menjelaskan:

"Ibu hamil yang menjalani ibadah berpuasa tidak perlu bimbang kalau-kalau janinnya kelaparan.

Ini kerana, jika janin memerlukan makanan, ia secara automatik akan mengambil gizi dari tubuh ibunya yang dibekalkan sepenuhnya melalui plasenta/uri", ujar beliau.

Beliau turut menarik perhatian bahawa, proses nutrisi yang optimum sebenarnya bermula sejak seseorang ibu itu berada di zaman kanak-kanak lagi.

Seseorang yang mempunyai tabiat pemakanan yang sihat sejak dari awal, akan mempunyai status pemakanan yang amat bagus dan mempunyai bekalan yang cukup sehingga ke awal kandungan.

Dengan meneruskan tabiat ini, beliau bukan sahaja dapat mengelakkan kekurangan nutrien, malah beliau juga akan memastikan anak di dalam kandungannya sentiasa sihat.

Pada masa yang sama, kata Dr. Noor Aini, ibu-ibu yang mengalami kekurangan nutrien di dalam pemakanan, akan menyebabkan tumbesaran bayi di dalam kandungan bermasalah.

"Semua bekalan yang ada di dalam tubuh badan ibu akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Ini akan menyebabkan ibu-ibu ini semakin tidak sihat.

Jika beliau tidak mengubah tabiat pemakanannya, anak yang di dalam kandungan juga akan turut terjejas," katanya sambil menambah, kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka berdua.

"Pada masa yang sama, kita tidak perlu makan untuk dua orang. Terlalu banyak makan dan nutrien juga akan mengundang musibah," tambahnya.

Perkembangan janin

Janin akan mengalami berbagai-bagai fasa pertumbuhan seperti hiperplasia (pertumbuhan sel), hypertrofi (pembesaran sel) dan juga pengkhususan sel sehingga minggu kelapan.

Janin ini juga bergantung sepenuhnya kepada nutrien ibu. Nutrien juga amat penting untuk memastikan pertumbuhan plasenta yang sihat.

Setiap organ mempunyai masa pertumbuhan kritikalnya yang tersendiri. Contohnya, otak mempunyai pertumbuhan kritikal semasa minggu ke-18 kandungan.

Kekurangan nutrien akan menyebabkan kekurangan sel otak, merencatkan pertumbuhan serta perkembangan otak.

Pertumbuhan dan pembesaran bayi akan berkembang dengan pesat pada minggu ke-12 hinggalah ke minggu ke-36 dengan pertumbuhan maksimum pada fasa trimester ketiga.


Puasa mengikut trimester

Sepanjang tempoh kehamilan normal 40 minggu dibahagikan kepada tiga trimester, setiap trimester mempunyai lebih kurang 13 minggu.

Semasa di awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa.

Semasa usia kandungan trimester kedua dan ketiga, keperluan protein, kolesterol, lemak, vitamin dan mineral meningkat dengan mendadak.

Makanan yang seimbang dan mencukupi akan juga membekalkan tenaga yang cukup bagi memenuhi keperluan janin dan plasenta.

Sepanjang tempoh ini, sebahagian besar tenaga disimpan di dalam bentuk glikogen dan lemak.

Jadi tidak hairanlah, mengapa ibu yang kurang pemakanan biasanya mempunyai bayi yang kurus manakala fetus daripada ibu yang obes dan berlebihan nutrien, lazimnya gemuk.

Ketika kandungan berusia enam hingga sembilan bulan, janin mula menghasilkan insulin untuk mengubah glukos ke bentuk glikogen dan lemak yang menyumbang kepada berat badannya.

Ketika berpuasa, ibu mengalami keadaan hipoglisemia selama beberapa jam terakhir berpuasa. Keadaan ini juga menyebabkan bayi tersebut mengalami keadaan yang sama dan akan menggunakan semula bekalan yang telah disimpan.

Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa yang paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit seperti di bawah disarankan agar tidak berpuasa:
  • Morning sickness yang teruk; ibu-ibu ini sentiasa lemah, mual dan mengalami dehidrasi/kekurangan air dalam badan. Semasa peringkat ini, ibu-ibu lazimnya kurang mengambil makanan atau minuman, apatah lagi yang berzat tinggi
  • Penyakit kronik seperti diabetes mellitus, darah tinggi, penyakit buah pinggang dan sebagainya. Pesakit-pesakit ini biasanya memerlukan rawatan seperti insulin atau ubat-ubatan lain. Tanpa ubat-ubatan, tumbesaran dan perkembangan bayi di dalam kandungan, serta kesihatan ibu akan turut terjejas
  • Anemia/kekurangan darah semasa mengandung
  • Oligohidramnios (air ketuban/mentuban yang sedikit/kering)
  • Pesakit jantung
  • Tumbesaran bayi yang terencat
  • Mengalami perdarahan semasa mengandung.

Panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan

Seseorang itu tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa bulan Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang.

Pengambilan makanan dari pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting. Agar ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan yang mempunyai nilai kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar.

Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Banyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya.

Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya ibu-ibu hamil kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan bahawa, seseorang itu tidak mengalami dehidrasi.

Air amat diperlukan oleh bayi dalam membentuk air mentuban. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Minumlah segelas susu setiap kali bersahur.

Pilihan yang baik untuk berbuka dan bersahur

Semasa berbuka puasa, anda digalakkan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak kerana ini boleh menyebabkan ketidakselesaan.

Antaranya buah-buahan segar, kurma, jus buah-buahan segar, kuih-muih yang kurang manis dan kurang lemak (apam beras, popia basah), yogurt rendah lemak yang ditambah dengan buah-buahan segar, telur rebus/ayam yang dipanggang, kacang panggang yang dimakan bersama roti bijirin.

Selepas beberapa jam kemudian, anda boleh menikmati hidangan yang lain seperti roti bijirin yang berintikan telur dan tomato, ayam rebus atau panggang dengan salad, keju dengan salad, atau tuna dengan timun dan tomato.

Atau, pasta dengan kuah yang berasaskan tomato, bebola daging dan salad, mihun sup dengan ayam dan sayur-sayuran, nasi putih dengan ikan kukus dan sayur-sayuran.

Atau, laksa Penang dan sayur-sayuran, mihun goreng kurang minyak yang lengkap dengan ayam atau daging dan sayur-sayuran.

Begitu juga dengan waktu bersahur, anda digalakkan mengambil makanan yang seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak. Makanan yang dimakan semasa sahur akan dapat bertahan selama lapan jam ataupun lebih awal.

Tip agar sentiasa segar semasa mengandung di bulan Ramadan
  1. Jangan lupa selalu makan makanan berzat baik pada saat sahur atau berbuka puasa. Walau menu sederhana, yang penting mengandungi lima unsur zat lengkap seperti protein, lemak, karbohidrat, vitamin dan mineral
  2. Usahakan untuk mencegah dehidrasi tubuh dengan banyakkan meminum air putih pada malam hari. Hal ini penting dilakukan, kerana pada siang hari, aktiviti kita cenderung banyak mengeluarkan keringat baik di ruangan terbuka atau berhawa dingin
  3. Pada saat berbuka, mulakan dengan makanan atau minuman hangat dan manis seperti Milo, susu atau minuman manis lainnya. Tapi ingat, jangan mengambil minuman yang mengandungi soda, kerana dapat menimbulkan akibat buruk bagi perut anda
  4. Jangan minum air dingin atau ais. Biasakanlah berbuka dengan minuman yang hangat. Perut yang kosong kerap menjadi kembung, bila anda terus berbuka puasa dengan air dingin
  5. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka. Tujuannya untuk memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan kita. Ingat, jangan mengambil makanan berlebihan dan makanan yang mempunyai kandungan garam yang tinggi seperti telur dan ikan masin
  6. Berbuka puasa hendaknya dilakukan secara perlahan-lahan dan tidak terburu-buru agar perut tidak terkejut. Untuk meringankan kerja penghadaman, kunyah makanan dengan baik
  7. Supaya anda mampu menahan rasa lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadamkan makanan yang banyak serat
  8. Selain memperbanyakkan makanan berserat dan berprotein, sebaiknya anda juga menyediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari
  9. Vitamin yang penting diambil setiap hari adalah vitamin A, B dan C. Tetapi, kalau anda sudah makan buah berwarna kuning atau merah, sayur berwarna hijau tua dan kekacang, maka tidak perlu khuatir kekurangan vitamin tersebut.

Ibu menyusu

Bagi ibu yang sedang menyusui bayi sepenuhnya, seeloknya jangan berpuasa dahulu kerana bayi perlu menyusu susu ibu setiap tiga jam.

Sekiranya ibu tidak makan dan minum, bagaimanakah ibu dapat menentukan susunya yang paling berkualiti? Sekiranya bayi sudah mula makan makanan lain selepas berumur empat bulan, ibu ini bolehlah berpuasa.

Apabila berbuka, pastikanlah makanan anda cukup berzat dan seimbang dan minum air secukupnya. Semasa sahur, amalkan minum segelas susu.


#mama harap baby dalam tummy mama ni kuat tau..samasama puasa dengan mama ye..#

4 ulasan:

  1. mUMMY first trimester kan?huhu banayak cabarannya..kalu tak larat takpela kan nak wa camne..Me plak alhamdullillah , puasa time second trimester akhir nak ke fasa 3rd trimester..memula cuak jugak.Tapi time buka memang me kena makan nasik.Time sahur larat pulak me minum milo jer.Tekak takleh masuk benda makan..tapi air kosong me memang berkoyanla minum.huhuhu...

    BalasPadam
  2. jgn lupa minum susu.kalau sahur tu mkn nasi.take care tau.

    BalasPadam
  3. insyaAllah..semoga baby ana dpt bertahan,akak dulu mmg dua2 anak mmg kena time puasa,tp syukur bole puasa penuh,sbb kehamilan dah sampai 6bulan..

    BalasPadam
  4. Linziana: yup 1st trimester..tu ler, yg mula2 ni kn kite kuat mkn..tiba2 kena tahan tu mcm lain mcm je..tp klu de simptom sakit kepala yg xtahan, muntah sume mang kena buka la..takut pe2..tp setakat ni 1 hari je la tinggal..

    Nazirah: hari tu mnum ducth lady je..sbb dulu xleh mnum susu tepung..tp kali ni nk try..anmum coklat k..or jenama lain..klu xleh telan gak..ducth lady la juge..

    mama aryan: tu ler, sbb ni bru permulaankn..tp klu perut dh besar insyaallah ana boleh..sbb dulu time aryan pn perut dh besar, de gak lunch xmkn..just mkn pg je..hope ok la..

    thanx sume..

    BalasPadam